KUALA LUMPUR: Satu sindiket nikah palsu di Sungai Besar, Sabak Bernam, dikesan mencetak kad perakuan nikah dengan meletakkan nombor siri pasangan lain bagi mengelak pasangan dinikahkan hadapi masalah.
KESAL...(dari kiri) Pengerusi Pekida Wilayah Persekutuan, Datuk Paduka Roslan Dahaman; Ketua Ahli Majlis Negeri Wilayah Persekutuan, Norashikin Abdul Ghani, Ariffudin dan Masridzi menunjukkan laporan polis serta dokumen pernikahan palsu.
Bapa saudara berkenaan, Ariffuddin Sam, 36, berkata, pada malam hari raya kedua lalu, anak saudaranya memberitahu keluarga dia sudah bernikah dengan lelaki terbabit.
Berikutan itu, katanya, keluarga memintanya menunjukkan kad perakuan nikah dan dia menunjukkan kad terbabit dan sijil perakuan nikah mereka.
Katanya, dia yang tidak berpuas hati merujuk kad berkenaan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan terkejut apabila diberitahu sijil serta kad nikah terbabit palsu kerana nombor siri yang tertera milik pasangan lain.
“Selepas dipaksa, anak saudara saya mendedahkan mereka menggunakan wali hakim dalam kariah sedangkan wali sebenar (ayah atau abang) masih ada. “Malah, tiada nama jurunikah yang bertanggungjawab serta terdapat dua saksi pernikahan mereka termasuk seorang anggota polis dari Balai Polis Sungai Besar,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) di sini, semalam.
Menurutnya, dia beranggapan ramai lagi pasangan muda di daerah itu dinikahkan sindiket terbabit.
“Kes ini memberi mudarat besar kepada keluarga kerana anak saudara saya kini mengandung empat bulan gara-gara ‘nikah tanpa tauliah itu’ dan ditempatkan di sebuah rumah kebajikan.
“Malah, lelaki mualaf itu bersumpah dia tetap akan mencari anak saudara saya hingga ke lubang cacing. Kerana tidak puas hati keluarga sorokkan anak saudara, dia menghantar kumpulan samseng seramai 15 orang ke rumah saya pada Isnin lalu,” katanya.
Mengimbas kembali kejadian ngeri itu, pada jam kira-kira 11 malam, sekumpulan 15 orang datang bertanyakan di mana mereka menyorokkan anak saudara yang berusia 24 tahun itu.
“Saya enggan memberitahu menyebabkan mereka menyerang saya dan keluarga.
“Dalam pergaduhan itu, saya dan adik diserang hingga mengakibatkan luka di muka, kepala dan lengan. Malah, ketika bergelut saya ditumbuk di muka dan belakang menggunakan objek keras, namun saya bernasib baik kerana jiran membantu meleraikan pergaduhan itu,” katanya lagi.
Ariffuddin turut mendedahkan, dia dan keluarga kini trauma kerana setiap hari melihat ada saja kereta yang disyaki meronda kawasan rumah itu bertujuan untuk menakutkan keluarganya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat mendesak pihak berkuasa terutama jabatan agama bertindak tegas menyiasat dan mendakwa mereka yang terbabit pernikahan palsu termasuk kesalahan memalsukan dokumen pernikahan menggunakan nama jabatan agama.
“Mereka (jabatan agama) perlu menyiasat dengan tegas seterusnya mendakwa pihak terbabit (sindiket nikah palsu) yang berpusat di Sungai Besar, Selangor, kerana jika tidak mungkin lebih ramai anak gadis yang akan mengandungkan anak luar nikah,” katanya.
No comments:
Post a Comment