Warga emas khalwat lelaki muda
Oleh Ramli Ibrahim
am@hmetro.com.my
2010/08/04
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
GUA MUSANG: “Kamu tidak sepatutnya melakukan perkara berkenaan (berkhalwat) kerana masih mempunyai dua anak perempuan dan sepatutnya malu kepadanya.
Lagipun kamu sebelum ini sudah berkahwin dengan empat lelaki walaupun sudah bercerai,” kata Hakim Syarie Norazizi Abdul Rahman di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.
Norazizi berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman denda RM1,800 atau enam bulan penjara terhadap seorang ibu tunggal yang ‘berselera muda’ kerana berkhalwat dengan seorang lelaki berusia 35 tahun pada Jun lalu.
Hukuman terbabit dijatuhkan Norazizi apabila tertuduh, Mek Som Kasim, 54, mengaku salah berkhalwat dengan Ibrahim Yusooff selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapannya.
Dia bagaimanapun menundukkan kepala kerana terkejut dengan hukuman tinggi dikenakan terhadapnya.
Selain Mek Som, pasangannya yang masih bujang turut dijatuhkan hukuman denda RM1,600 atau enam bulan penjara selepas mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Kanan Syarie Kelantan, Masnira Kadir, meminta mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat dan setimpal dengan perbuatan yang dilakukan sebagai pengajaran.
Pasangan itu didakwa di bawah Seksyen 9(1)(2), Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan No 2/85 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam serbuan di rumah wanita berkenaan kira-kira jam 1 pagi pada 22 Jun lalu di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Sungai Terah, Gua Musang, Mek Som yang berkemban ditahan bersama lelaki terbabit dalam bilik tidurnya.
Bagaimanapun, ketika Skuad Amru bersama Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) diketuai Penolong Pegawai Penguat kuasa Agama Jajahan, Husnie Adabi Abdul Kadir, memasuki rumah itu, Ibrahim yang memakai kain pelikat melarikan diri.
Ibrahim yang menunggang motosikal kemudian menyerah diri sebaik terserempak dengan Skuad Amru di Bandar Lama Gua Musang setengah jam selepas serbuan dilakukan.
Wanita terbabit kemudian dibawa ke Pejabat Agama Jajahan untuk siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit.
Ketika ibu tunggal itu dicekup, terdapat dua remaja perempuan sedang tidur dalam bilik berasingan dan mereka mengaku anaknya yang masih bersekolah.
Mek Som pula ketika diberi peluang mengemukakan rayuan menyatakan dia sudah berkahwin dengan Ibrahim kelmarin (2 Ogos) dan mahu diringankan hukuman.
Kedua-dua mereka kemudiannya membayar denda ditetapkan mahkamah.
Tuesday, August 3, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment