Nani ditemui Metro Ahad bersama dua lagi mangsa dikenali sebagai Miza, 42; Dira, 51, dan bekas isteri lelaki terbabit yang mahu dikenali sebagai Alin, 29.
Menurut Nani, tembelang lelaki itu terbongkar selepas dia, Miza dan Dira yang masing-masing berstatus ibu tunggal berhubung antara satu sama lain di laman sosial yang menjadi punca kepada perkenalan mereka dengan lelaki terbabit.
Katanya, mereka mengenali lelaki itu sekitar Ogos tahun lalu menerusi laman sosial dan segala-galanya terbongkar dua bulan lalu.
“Dalam laman sosial itu, Miza dan Dira turut menjadi kenalan saya. Apabila berhubung antara satu sama lain, masing-masing bercerita mengenai ‘drama king’ itu dan terbongkarlah rahsia.
“Dalam menjalin hubungan cinta dengan saya, rupa-rupanya dia turut bercinta dengan dua rakan saya. Taktiknya sama, antaranya menggunakan panggilan diri ‘papa’ dan menagih simpati dengan mengatakan ibunya terlantar di hospital dua tahun akibat koma,” katanya.
Nani berkata, lelaki itu turut merayu supaya diberikan RM15,000 untuk menanggung kos rawatan ibunya.
“Dengan saya dia minta RM15,000, begitu juga Miza dan Dira. Kerana tertipu dengan janji manisnya, sepanjang perkenalan, saya menyerahkan lebih RM10,000.
“Paling menyedihkan, saya sanggup meminjam RM5,000 daripada along untuk diberikan kepadanya,” katanya yang turut mengakui menyerah tubuhnya kepada lelaki itu sehingga kini mengandung dua bulan.
Menurut Nani, satu lagi tembelang yang dibongkar, lelaki yang pada mulanya mengaku bujang itu rupa-rupanya berkahwin.
“Lelaki itu meminjam telefon bimbit saya dan menggantikan dengan ‘telefon buruk’ miliknya. Saya mengesan satu nombor tanpa nama dan menghubunginya.
“Alangkah terkejutnya saya, individu yang saya hubungi adalah isterinya. Isterinya tidak terkejut kerana tahu kerenah suaminya yang banyak skandal dengan wanita, malah pada masa sama mengakui tidak tinggal sebumbung dan akan bercerai,” katanya.
Selepas mengenali satu sama lain sebulan lalu, Nani bersama Miza, Dira dan Alin mengadakan pertemuan dan terbongkarlah lebih banyak rahsia lelaki itu.
“Dalam pertemuan itu Alin mengesahkan sudah bercerai. Walaupun masing-masing sakit hati tetapi apabila bercerita, lucu pula jadinya.
“Ketika menjalin hubungan dengan kami, dia sudah ada isteri. Dengan saya dia janji nak kahwin April tahun ini dan dengan dua lagi ‘kekasihnya’ (Miza dan Dira), dia janji nak kahwin pada Mei dan Jun. Justeru, kami ini empat madulah jadinya,” katanya.
Menurut Nani, dakwaan lelaki itu bahawa ibunya sakit juga dusta semata-mata.
“Kami sudah berjumpa ibunya. Memang dia raja drama sebab ibunya sihat saja di rumah. Kami juga bertemu seorang adik beradiknya dan ternyata dia memang penipu,” katanya.
Nani mengakui ‘tewas’ dengan ayat manis lelaki itu dan kini menyesal.
“Saya pun sukar menyatakan mengapa saya jatuh hati dengannya sebab boleh dikatakan dia masuk dalam kategori kasanova ‘cap ayam’. Nak kata tampan, tak adalah pula, perut buncit adalah.
“Cuma, dia guna ayat manis untuk memikat sehingga saya terpikat. Kini, saya menanggung akibatnya,” katanya.
Bagi Miza pula, dia kerugian kira-kira RM1,000 selepas ‘buta-buta’ menyerahkan wang kepada lelaki itu.
“Lelaki itu memang pandai memujuk rayu. Kerjanya asyik minta wang... tambah nilai kredit telefon bimbit pun minta dengan saya.
“Kira-kira RM1,000 sudah saya beri kepadanya. Selepas tembelangnya terbongkar, saya akan menuntut kembali wang saya,” katanya.
Dira pula berkata, dia kerugian kira-kira RM500 sepanjang berkenalan dengan lelaki itu.
“Eloklah tembelangnya pecah sebab belum apa-apa, sudah terserlah sikap buruknya. Kerjanya asyik cemburu, mengongkong dan memaki saja.
“Nasiblah siapa mangsanya selepas ini. Orang seperti itu tidak akan berhenti menipu dan menyusahkan orang lain,” katanya.
Dalam pada itu, Alin mengakui sehingga hari ini dia menerima panggilan daripada wanita tidak dikenali melepaskan kemarahan dan menuntut wang.
“Saya memang ada menggunakan nombor telefon bekas suami. Justeru, ada wanita yang dikenakan bekas suami menghubungi nombor telefon itu.
“Saya nak buat macam mana. Pekakkan telinga sajalah,” katanya.
KUALA LUMPUR: “Jangan percaya janji manis lelaki, itulah ‘racun’ paling berbisa,” kata pakar motivasi, Dr HM Tuah Iskandar al-Haj berhubung perbuatan seorang lelaki mengikis duit tiga wanita iaitu Nani, Miza, Dira selain curang dengan isterinya, Alin.
Dr Tuah tidak menafikan, kebelakangan ini ramai wanita diperalatkan lelaki kasanova dan ‘buaya’ untuk kepentingan diri serta kemewahan hidup.
“Ia menjadi penyakit sosial baru. Masalahnya, perkara ini tidak akan berlaku jika wanita tidak cari penyakit itu.
“Mangsa yang teraniaya dengan perbuatan lelaki seperti ini sepatutnya mengambil tindakan undang-undang. Apa yang lelaki itu lakukan adalah satu kesalahan,” katanya.
Menurut Dr Tuah, jika ingin memilih pasangan dalam apa juga keadaan, usah terlalu melihat rupa paras dan penampilan tanpa menyelidik siapa lelaki itu sebenarnya.
“Lihat apa berlaku pada Miza, Dira dan Nani. Mereka dikikis dan habis wang ringgit hanya kerana seorang lelaki. Lebih teruk lagi, lelaki itu tidaklah sehebat disangka.
“Jangan cepat teruja dan lelaki jenis kasanova memang pandai berlakon. Lelaki begini pandai mengambil kesempatan terhadap kelemahan wanita,” katanya.
Dr Tuah menasihatkan wanita lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup, sekalipun sekadar untuk bercinta.
“Bukan secara membuta tuli percaya pujuk rayu dan janji kosong ditaburkan lelaki. Jangan terlalu memberi kepercayaan, ia akan membawa padah.
“Yang penting pastikan dulu latar belakangnya, tidak kira dengan apa cara, untuk mengetahuinya sama ada melalui keluarga atau rakan mereka. Sebelum terhantuk, ada baiknya ambil sikap berjaga-jaga,” katanya.
Risiko Aids kasanova buncit
ReplyDeleteE-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Empat wanita yang mendakwa diri mereka empat ‘madu’ kerana ditipu lelaki digelar kasanova kaki temberang, dinasihatkan menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka bebas penyakit.
Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, pemeriksaan itu penting kerana ada sejarah kes wanita ditipu kasanova hingga akhirnya dijangkiti Aids.
“Dalam kes ini, seorang daripada wanita terbabit adalah bekas isteri lelaki itu manakala seorang lagi mengandung selepas terpedaya dengan janji manisnya, jadi pemeriksaan kesihatan penting untuk mengesahkan mereka bebas penyakit.
“Harus diingat, jenayah pertama berlaku dalam peradaban manusia adalah tipu dan ia terus berlaku. “Cuma beza dulu dengan kini adalah cara meyakinkan mangsa.
“Mangsa dipilih berdasarkan apa dikehendaki suspek dan dia memerlukan ‘props’ bagi menjayakannya, misalnya kereta mewah untuk berlagak kaya dan eksekutif atau menabur janji manis bagi memikat atau kisah sedih untuk menagih simpati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan Metro Ahad semalam mengenai tembelang seorang lelaki yang bercita-cita hidup senang dengan mengikis wang wanita bukan saja terbongkar, malah dia kini tidak keruan apabila terpaksa berdepan pakatan empat ‘madu’ yang berganding bahu memporak-perandakan hidupnya.
Pakatan itu membabitkan tiga mangsa yang dijanjikan untuk dikahwini dalam tempoh selang sebulan, bermula bulan depan, manakala bekas isteri lelaki itu mahu melunaskan dendam selepas menyedari suaminya curang. Bekas isteri itu berang kerana suaminya memperdaya mangsa hingga ada yang mengandung, ditipu lebih RM10,000 dan diperbodoh-bodohkan. Antara perancangan itu adalah membuat laporan polis selepas mendakwa diugut lelaki berkenaan dan muncul di majlis perkahwinannya dengan seorang lagi mangsa.
Kamal Affendi berkata, dalam kes itu, empat wanita ditipu serentak dan ia menunjukkan kepintaran lelaki terbabit melakukan kerja jahatnya.
Katanya, jika ada unsur jenayah seperti ugutan atau paksaan, laporan boleh dibuat kepada polis untuk tindakan undang-undang, tetapi sekiranya mereka menyerahkan harta secara sukarela, jenayah tidak wujud.
“Kes kasanova bukan saja membabitkan lelaki, malah ada wanita yang menipu ramai lelaki serentak. “Dalam kes ini, lelaki terbabit ada kelas tersendiri kerana memperdayakan empat wanita serentak, lebih-lebih lagi beliau dikatakan bukan kategori tampan serta berperut buncit.
“Mangsa hilang harga diri dan harta tetapi bernasib baik kerana tidak hilang nyawa. “Dalam kes tertentu, ada suspek yang bukan saja menipu, malah bertindak ganas dengan mendera mangsa seperti mengurung dan memukulnya.
“Kes begini banyak kali dilaporkan tetapi keupayaan kita melihat peluang untuk menjadi mangsa amat terhad. “Sehubungan itu, berhati-hatilah supaya tidak mudah menjadi mangsa dan akhirnya menyesal selepas menyerahkan harta dan harga diri,” katanya.