Pelayan cabul nenek solat didenda
Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my
2011/04/23
Lelaki mengaku picit punggung pesara guru di surau kena bayar RM2,000
KUALA LUMPUR: Seorang pelayan hotel didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang, di sini semalam selepas mengaku bersalah mencabul seorang warga tua yang sedang menunaikan solat di sebuah surau di Taman Nirwana, 19 April lalu. Majistret Wan Karimah Wan Md Ab Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap Salahudin Hassan Sha, 23, dan memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan empat bulan jika gagal membayar denda itu. Salahudin dituduh mencabul pesara guru berusia 65 tahun dengan memicit punggung mangsa yang sedang solat Asar bersendirian di bilik sembahyang wanita di surau Taman Nirvana Ampang, jam 4.55 petang 19 April lalu.
Tertuduh dari Taman Ampang Hilir didakwa mengikut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan.
Mengikut fakta kes, mangsa juga dicabul sehari sebelum itu ketika sedang solat Asar bersendirian di surau berkenaan dan kejadian sama berulang keesokannya pada waktu sama. Mangsa yang ketakutan, menjerit dan menceritakan kejadian itu kepada suaminya.
Pada masa sama, seorang daripada jemaah lelaki berselisih dengan tertuduh yang dilihat keluar dari surau dalam keadaan tergesa-gesa menuruni tangga sebelum mengejar dan berjaya menahan tertuduh sebelum menyerahkannya kepada polis.
Di mahkamah sama, seorang buruh, Mohd Ali Mohd Yunus, 28, yang juga pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) dari Myanmar, dituduh membunuh anak angkat lelakinya berusia dua tahun 10 bulan, yang juga warga Myanmar.
Dia dituduh melakukan jenayah itu itu di rumah sewanya di Lot 1414, Lorong Permai 29, Ampang Campuran, di sini, antara jam 10 pagi dan 12 tengah malam, 12 April lalu. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Wan Karimah menetapkan 21 Jun ini untuk sebutan kes.
Friday, April 22, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment