MELANGSUNGKAN perkahwinan adalah impian pasangan yang sedang hangat dilamun cinta, namun berapa ramai yang benar-benar mampu mengeluarkan belanja untuk menganjurkan majlis yang diimpikan?
Kerana itu segelintir pasangan memilih untuk membuat pinjaman peribadi semata-mata bagi menampung perbelanjaan majlis perkahwinan mereka.
Ikuti temu bual wartawan Bisnes Metro, SYARIFAH DAYANA SYED BAKRI dengan Pengarah Shuth Network Sdn Bhd, Mohd Suhaimy Abu Bakar mengenai tip mengumpul wang bagi melangsungkan perkahwinan tanpa perlu membuat pinjaman peribadi.
KEBANYAKAN pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan mengambil jalan mudah dengan membuat pinjaman peribadi bagi menampung perbelanjaan. Adakah langkah berkenaan sesuatu yang perlu dilakukan pada zaman sekarang?
Pinjaman peribadi pada zaman sekarang adalah sesuatu yang mudah didapati dan kebanyakan institusi kewangan menawarkan kemudahan ini. Namun, saya tidak melihat ia sebagai sesuatu yang baik kerana hanya akan menyusahkan peminjam di kemudian hari.
Pada pandangan saya, meminjam duit untuk menjana duit yang lebih banyak adalah sesuatu yang bijak. Namun, sekiranya membuat pinjaman semata-mata untuk membelanjakannya adalah sesuatu yang merugikan.
Tetapi, disebabkan keadaan mendesak, terdapat segelintir pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan terpaksa membuat pinjaman peribadi.
Adakah cara lain untuk mendapatkan wang bagi melangsungkan perkahwinan selain membuat pinjaman peribadi?
Selain membuat pinjaman peribadi, pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan masih boleh mengumpul wang secukupnya untuk hari bahagia mereka.
Malah, jika konsisten dan mampu menahan diri daripada membelanjakan gaji bulanan untuk perkara yang tidak penting, mereka yang mempunyai gaji minimum RM1,000 boleh mengumpul sehingga RM15,000 dalam tempoh kurang dua tahun.
Bagaimanapun, terdapat perkara yang perlu dipatuhi untuk memastikan proses mengumpul duit dapat dilakukan dengan sempurna.
Langkah pertama adalah dengan mengawal perbelanjaan serta mengelak diri daripada membelanjakan wang untuk perkara yang kurang penting seperti menonton wayang, melancong, berkaraoke atau membeli perabot tidak perlu.
Selain itu, bakal pengantin juga perlu mengelak daripada menambah hutang atau membuat hutang baru seperti membeli kereta atau berbelanja menggunakan kad kredit.
Bagi membantu menambah pendapatan, mereka juga boleh membuat kerja sampingan seperti berniaga dalam talian atau berniaga secara kecil-kecilan di pasar malam.
Selain mengikut saranan yang diberi, apakah cara lain untuk membantu bakal pengantin mendapatkan wang mencukupi?
Perkara utama yang harus dilakukan adalah dengan menukar gaya hidup masing-masing. Jika selama ini kebanyakan individu hanya membuat simpanan selepas berbelanja, maka mereka perlu mengenepikan kira-kira 10 peratus daripada gaji diterima untuk simpanan.
Selepas membuat bayaran bil utiliti, mereka perlu menyimpan untuk diri sendiri.
Apakah saranan yang boleh diberi kepada mereka yang ingin melangsungkan perkahwinan tanpa membuat pinjaman peribadi?
Walaupun agak sukar mengumpul wang, tindakan mengumpul duit sendiri bagi melangsungkan perkahwinan adalah sangat bijak.
Ini kerana kebanyakan pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan tidak mengetahui cabaran selepas selamat diijabkabulkan.
Cabaran mengumpul wang menjadikan seseorang itu lebih matang dan menghargai wang yang dimiliki. Tetapi sekiranya mereka mengambil keputusan membuat pinjaman, maka pada masa akan datang kemungkinan untuk membuat pinjaman lain boleh terjadi.
Apakah nasihat untuk mereka yang ingin berusaha mengumpul wang sendiri bagi melangsungkan perkahwinan.
Apa yang paling penting adalah mengukur baju di badan sendiri. Jangan berbelanja di luar kemampuan atau menginginkan majlis yang luar biasa atas alasan perkahwinan itu sekali dalam seumur hidup. Berbelanjalah secara sederhana kerana apa yang paling penting adalah mengutamakan perkara wajib dan mengadakan kenduri untuk memaklumkan kepada saudara-mara, rakan-rakan dan masyarakat mengenai perkahwinan itu.
Malah, saya juga nasihatkan mereka yang mempunyai niat untuk mendirikan rumah tangga agar merancang dari awal kerana ia akan menentukan perbelanjaan yang akan dikeluarkan.
No comments:
Post a Comment