PADK cekup pasangan warga Indonesia, Bangladesh bersekedudukan
KULIM: “Saya tidak mampu untuk membayar sewa rumah di Lunas menyebabkan saya terpaksa pindah dan tinggal bersama teman lelaki saya,” kata wanita warga Indonesia ketika ditahan anggota Penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK).
Wanita berusia 21 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.30 malam bersama teman lelakinya warga Bangladesh kerana bersekedudukan di tingkat atas sebuah rumah kedai di Taman Beringin, dekat sini kelmarin.
Ketika diperiksa, wanita itu memberi alasan dia memilih untuk tinggal bersama teman lelakinya berusia 27 tahun kerana kadar sewa rumah yang disediakan majikannya terlalu mahal.
Dia yang pada mulanya tidak mengaku pernah melakukan sebarang hubungan seks dengan teman lelakinya, akhirnya mengaku baru selesai melakukan perbuatan terkutuk itu beberapa jam sebelum ditahan PADK.
“Saya tinggal di sini percuma dengan teman lelaki, saya hanya perlu melayan kehendak seksnya saja selain menyediakan makanan dan minuman untuknya selepas pulang kerja,” katanya.
Menurutnya, dia yang baru beberapa hari pindah ke rumah itu turut mengaku sudah beberapa kali melakukan hubungan terkutuk bersama teman lelakinya.
“Sejak pindah ke sini tiga hari lalu, saya sudah beberapa kali tidur bersama teman lelaki saya,” katanya.
Menurut jurucakap PADK, pemeriksaan dibuat berdasarkan maklumat daripada orang awam kira-kira jam 3.30 petang kelmarin.
Beliau berkata, ketika anggota menjalankan pemeriksaan kira-kira jam 4 petang kelmarin, PADK hanya menemui wanita warga Indonesia berseorangan di dalam rumah itu namun pemeriksaan semula kira-kira jam 11.30 malam, menemui seorang lelaki warga Bangladesh bersama wanita Indonesia itu.
“Ketika pemeriksaan dibuat pada jam 11.30 malam, penghuni rumah itu enggan bekerjasama membuka pintu menyebabkan PADK terpaksa membuat helah dengan mengatakan ia pemeriksaan Imigresen,” katanya.
Terpedaya dengan taktik penguat kuasa, akhirnya warga Bangladesh itu membuka pintu untuk pemeriksaan dan ketika ditemui, lelaki itu hanya berkain pelikat manakala wanita Indonesia itu sedang tidur di dalam bilik lelaki itu.
“Pasangan perempuannya sedang tidur dalam bilik dengan hanya memakai baju T dan seluar pendek," katanya.
Pasangan itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan penangkapan dan teman lelakinya ditahan di lokap Balai Polis Kulim manakala pasangan wanita ditahan di Lokap Balai Polis Lunas.
Menurut jurucakap PADK, kes disiasat mengikut Seksyen 9 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 seorang atau kedua-duanya sekali.
Wednesday, February 9, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment