Bersama Selebriti: Rujuk ibu bapa, bijak pilih kawan
2010/07/18
pix_gal0
Juara AF8 bimbang sikap agresif remaja
PEMBABITAN remaja Melayu dalam kes salah laku seksual, seks bebas serta lari dari rumah seperti yang dilaporkan media akhir-akhir ini, cukup membimbangkan.
Apa sebenarnya punca menyebabkan segelintir remaja hari ini seolah-olah hilang arah hingga sanggup melakukan perbuatan tidak bermoral seperti lari bersama kekasih yang baru dikenali termasuk lelaki warga asing, atau membuang anak.
Click Here
Wartawan Edisi Mingguan, ZAIDI MOHAMAD mendapatkan pandangan artis muda, Juara Akademi Fantasia (AF) musim kelapan, Ahmad Shahir Zawani mengenai isu ini.
Shahir turut dilantik Ikon Belia Perak 2010 pada majlis sambutan Hari Belia Negara peringkat negeri di Teluk Intan, bulan lalu.
Apa pandangan anda mengenai masalah keruntuhan moral remaja hari ini?
Masalah ini dilihat makin kronik dan menjadi-jadi. Dunia akhir zaman dan segala kemungkaran terus berleluasa. Isu keruntuhan akhlak remaja ini juga dianggap sesuatu yang ‘biasa’ sekalipun ia amat membimbangkan dalam masyarakat kita. Banyak faktor yang menyumbang kepada masalah ini.
Entiti seks seperti bahan lucah atau pornografi mudah saja diakses di mana-mana terutama di laman sesawang. Bahan seumpama ini juga dijual di pasaran gelap dan mudah didapati. Kanak-kanak juga berpotensi didedahkan dengan bahan tidak bermoral ini.
Apakah faktor menyebabkan remaja mudah terbabit dengan gejala negatif?
Memang banyak faktor yang menyumbang kepada peningkatan masalah ini. Semua bermula dari rumah dan jika dari situ sudah lemah, tidak hairan anak muda ini mencari alternatif lain termasuk pengaruh rakan sebaya. Pemantauan dan pengawasan ibu bapa perlu dari rumah.
Peranan teknologi yang sepatutnya digunakan untuk manfaat bersama juga disalah guna.
Pengaruh rakan sebaya juga antara saluran paling efektif menggalakkan remaja berkelakuan tidak bermoral. Kurang didikan agama juga boleh dikaitkan dengan hal ini.
Sebagai remaja, apakah benar tanggapan bahawa jiwa remaja mudah memberontak, terpengaruh dan , mudah mengikut kata hati?
Sebagai golongan remaja, saya sendiri tidak boleh menidakkan soalan ini. Kalau salah corak dan bentuk pada permulaan langkah, tak mustahil ia akan terus berbekas dengan hal yang tidak elok. Darah muda dan sikap agresif remaja ada kalanya memakan diri.
Sikap ingin mencuba sesuatu yang baru juga membuak-buak. Kadang-kadang, remaja seperti saya ini melihat sesuatu subjek atau dunia luar tanpa berfikir panjang. Kesimpulannya, ia berakhir dengan penyesalan yang sudah terlambat.
Apakah yang boleh dilakukan bagi menangani masalah ini?
Saya tekankan semua bermula dari rumah. Pepatah Melayu, melentur buluh biar daripada rebungnya memberi gambaran jelas dan signifikan kepada permasalahan sekarang. Ibu bapa dan guru sebagai contohnya, perlu terus memperkasakan peranan mereka untuk membimbing golongan muda ke arah positif.
Selain itu, carilah rakan yang menghala ke arah kebaikan. Apa juga kemungkinan, kita harus memberi sokongan dan jauh sekali menyisih mereka yang sudah tersasar.
Program ilmiah juga perlu dipertingkatkan. Media juga dialu-alukan sumbangan terutama dalam menghasilkan penulisan atau visual yang membangkitkan nilai positif serta praktikal.
Sudah tiba masanya pihak berkaitan menggunakan pendekatan mesra remaja. Tiada lagi apa saja pendekatan boring seperti mencurah air ke daun keladi atau bersifat ‘tua’. Saya yakin cadangan yang segar sentiasa dialu-alukan.
Bagaimana pula dengan peranan sekolah, ibu bapa dan rakan sebaya.
Subjek tertentu terutama mengenai perihal pengetahuan seks yang sering dianggap tertutup perlu terus diperluaskan skop dan kepelbagaiannya?
Ibu bapa barangkali boleh menggunakan cara yang lebih intim. Ibu bapa boleh mengubah fungsi yang lebih formal kepada yang santai.
Apakah yang anda lakukan bagi menjaga diri dan seterusnya mengelak pengaruh negatif yang ada di depan mata?
Apa terjadi seiring dengan kesibukan saya bergelar artis, saya masih merujuk kepada ibu bapa. Saya yakin, ibu bapa adalah cermin terbaik supaya kita tidak lari daripada landasan sebenar.
Sebagai manusia yang tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan, saya sentiasa mengingatkan diri kepada Tuhan. Berkawanlah dengan mereka yang mempunyai aura positif dan tebal dengan nilai murni. Insya- Allah, semuanya akan baik-baik saja. Mencegah itu lebih baik daripada merawat.
Monday, July 19, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment