Syor moral, agama Islam subjek wajib lulus SPM
Oleh Sharifah Salwa Syed Akil dan Faridzwan Abdul Ghafar
bhnews@bharian.com.my
2010/07/02
Jalan terakhir untuk remaja dapat didikan akhlak: Mufti
KUALA LUMPUR : Kerajaan diminta mewajibkan mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sebagai syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya ilmu yang dipelajari dapat dipraktik dan diamalkan dalam kehidupan seharian pelajar.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata pihaknya mendapati pembelajaran agama Islam di kalangan pelajar masih belum mencukupi untuk membentuk sahsiah dan moral mereka, selagi mata pelajaran itu tidak dijadikan mata pelajaran wajib.
“Kami melihat usaha mendidik remaja tidak akan berkesan selagi mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral untuk bukan Islam masih dijadikan kurikulum sampingan kerana mereka akan mengambil sikap sambil lewa dan tidak peduli untuk mempelajarinya.
“Jika ia dijadikan syarat wajib maka saya yakin keadaan sebaliknya akan berlaku. Mahu tidak mahu, suka tidak suka mereka akan mendalami, memahami mengenai ilmu itu dan secara tidak langsung ia akan meresap ke jiwa mereka.
“Bagi saya kerohanian amat penting sebagai pengisian kehidupan seseorang tetapi kurikulum pendidikan kita banyak menumpukan kepada pembangunan ekonomi dan tidak menekankan isu moral. Apabila tiada kekuatan kerohanian, maka berlaku pelbagai perkara tidak diingini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, pelbagai pihak menggesa kerajaan memperkenalkan segera pendidikan seks secara formal di sekolah serta memperketatkan dan menguatkuasakan undang-undang bagi membendung capaian remaja terhadap unsur pornografi sebagai langkah membanteras salah laku seks dan pembuangan bayi yang semakin berleluasa.
Pengerusi Kesatuan Guru-Guru Sekolah Tamil Malaysia, P Dharmalingam, berkata subjek Pendidikan Moral perlu dijadikan mata pelajaran wajib dalam peperiksaan awam kerana dilihat mampu meningkatkan kekuatan dalaman seseorang pelajar sekali gus mengelakkan mereka terjebak dalam gejala sosial yang tidak sihat.
Beliau berkata, kerajaan perlu mengemaskini dan melihat kembali mata pelajaran itu yang diajar di peringkat rendah dan menengah supaya ia lebih bersesuaian dengan kehendak dan suasana semasa.
“Saya tidak kata mata pelajaran itu tidak bagus kerana ia mungkin sesuai dengan suasana dan keadaan masa itu tetapi saya tidak fikir ia sesuai diguna pakai pada masa ini kerana masa itu gejala sosialnya tidak sehebat sekarang.
Jadi, saya sarankan kerajaan mengubah isi kandungan subjek berkenaan bagi memasukkan beberapa elemen penting supaya ia lebih mantap dan sesuai untuk diguna pakai,” katanya.
“Kekuatan dalaman, moral amat penting untuk kita membendung gejala tidak sihat. Semua agama tidak kira Islam, Buddha atau Hindu melarang penganutnya melakukan kemungkaran. Justeru penghayatan nilai murni disertai dengan pendidikan moral di peringkat awal adalah perlu,” katanya
Thursday, July 1, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment